HANYA kerana rasa tidak puas hati, seorang pekerja kedai runcit nyaris maut terkena beberapa das tembakan senapang patah pada bahagian badan yang dilepaskan oleh seorang lelaki dalam kejadian di Pokok Tumpang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun berkenaan dilaporkan cedera pada dada kanan dan tangan kanan selepas terkena tembakan tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, suspek berusia 33 tahun dikatakan pergi ke kedai runcit milik seorang wanita warga tempatan itu sambil membawa selaras senapang patah milik bapanya sebelum menembak mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera dihantar ke Hospita Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan manakala suspek berjaya ditangkap selepas itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berpunca ekoran suspek yang sebelum ini kerap ke kedai runcit itu tidak berpuas hati terhadap mangsa.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan punca perasaan tidak hati hati tersebut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan