Di Hulu Langat, ramai mangsa memohon bantuan kerajaan ditolak permohonan mereka atas sebab-sebab tertentu.
Selama 17 tahun, Zariah Shamsuddin dan keluarganya mendiami sebuah rumah kecil yang terletak berhampiran Sungai Lui di Batu 18, Hulu Langat.
Walaupun kehidupan tidak selalunya senang, namun mereka tidak pernah mengalami tragedi atau bencana.
Bagaimanapun, malang tidak berbau, sejak tiga minggu lalu, kawasan kediaman mereka itu dilanda banjir besar selepas hujan berterusan selama beberapa hari.
Akibatnya, tiga anak beranak itu kehilangan segala-galanya termasuk barangan peribadi yang disimpan kerana nilai sentimental sehinggalah rumah yang mereka diami.
Mengimbas kembali bagaimana keadaan hujan yang lebat menyebabkan air banjir masuk ke dalam rumahnya pada malam kejadian, Zariah berkata ia adalah perkara paling menakutkan yang pernah dialaminya.
“Saya tidak dapat gambarkan ketakutan yang saya alami pada masa itu,” katanya.
“Air banjir sangat deras dan naik tinggi. Arusnya berpusing-pusing sambil membawa banyak barangan termasuk barangan rumah, motosikal dan juga kayu balak.
“Hari kejadian itu pula gelap dan hujan lebat mencurah-curah, kami dapat mendengar bunyi kuat benda yang dihancurkan dan dimusnahkan banjir.”
Ketika paras air banjir terus naik dan menenggelamkan rumahnya, Zariah, suaminya dan anak lelaki mereka yang berusia lapan tahun naik ke atas sebuah bot kecil.
Mereka cuba berpaut pada apa-apa yang boleh dicapai ketika saat genting itu, namun arus deras memusnahkan semua tempat berpaut dan membawa mereka semakin jauh dari rumah.
Zariah sekeluarga akhirnya tersangkut di pokok buluh di mana mereka menunggu pihak keselamatan datang.
Mereka terdampar di situ selama lebih sembilan jam, cuba bertahan daripada arus air banjir sehingga paras mula surut keesokan harinya.
Tiga minggu selepas kejadian itu, keadaan mereka tidak banyak berubah.
Pada minggu pertama selepas banjir memusnahkan rumah mereka, Zariah dan keluarganya tinggal di dalam khemah.
Di khemah itu, mereka menunggu sehingga bantuan tiba.
“Apabila paras air banjir mula surut, saya bawa anak lelaki saya ke rumah kakak ipar,” katanya.
“Selepas itu, keluarga kawan tawarkan kami duduk di inap desa mereka.”
Zariah akan bermalam di inap desa itu, namun setiap pagi dia akan pulang ke rumahnya untuk mengenal pasti barang yang masih elok dan membersihkan apa-apa yang boleh.
“Suami saya pula, tak tinggalkan kawasan rumah,” katanya.
“Dia dirikan khemah, dan kami duduk di sana melakukan apa-apa yang boleh untuk selamatkan barangan.”
Walaupun sesetengah pihak mungkin mempersoalkan keengganan mereka untuk meninggalkan kawasan rumah yang musnah, namun Zariah berkata masih ada beberapa perkara yang perlu mereka uruskan.
Suaminya mempunyai bengkel motorsikal kecil di belakang rumah mereka, di mana beberapa motorsikal masih belum diambil pemiliknya.
“Dia kata orang ramai sudah beri amanah pada dia, jadi dia perlu duduk sini untuk jaga. Dia sentiasa berjaga-jaga dan sangat berhati-hati terhadap setiap kemungkinan yang boleh berlaku,”katanya.
Kini, Zariah sekeluarga tinggal di sebuah kabin kecil yang diaturkan untuk mereka sebagai tempat berteduh.
Sementara itu, seorang penderma bermurah hati memberikan mereka wang yang cukup untuk membina semula sekurang-kurangnya sebahagian daripada rumah.
Namun usaha pembinaan rumah mereka itu masih perlahan.
Menurut Zariah, ketika kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk membantu yang terjejas akibat banjir, dia dan suami gembira dan melihat ada harapan untuk bangkit daripada bencana itu.
Namun selepas beratur selama beberapa jam bersama ratusan mangsa yang lain, permohonan mereka ditolak.
“Mereka kata tanah ini tanah rizab, jadi kami tidak dapat bantuan kerajaan untuk bina rumah,” katanya.
“Kami juga mungkin perlu mengosongkan tempat ini jika mereka minta kami untuk kosongkan. Apabila saya dengar perkara ini, saya tidak tahu bagaimana untuk respons lagi.
“Kami tinggal di sini selama bertahun-tahun, sebahagian daripada kami sejak lahir.
“Kami juga bayar cukai kami dan menunaikan tanggungjawab kami sebagai rakyat, tetapi kami tidak boleh mendapatkan bantuan yang kami perlukan apabila kami dilanda bencana.”
Zariah berkata ramai penduduk kampung lain menghadapi penolakan yang sama atas beberapa sebab.
Ada daripada mereka yang ditolak permohonan kerana nama pada geran tanah adalah nama ibu bapa yang sudah meninggal dunia.
Ada juga yang ditolak permohonan kerana belum berkahwin.
Dia berkata terlalu banyak birokrasi yang terlibat sehingga menambah beban mangsa banjir.
“Sistem itu tidak mudahkan kami, malah lebih membebankan kami lagi dan buatkan kami tertekan.
“Mengapa mereka tidak boleh berikan sedikit bantuan yang dijanjikan? Kami orang kampung. Kami tidak berhasrat untuk jadi kaya, kami hanya mahukan tempat berteduh.”
Masih tidak pasti tentang nasibnya, Zariah berkata dia berazam untuk terus kuat menjalani ujian tersebut.
Katanya, dia dan suami akan cuba membina semula rumah mereka sedikit demi sedikit dengan apa yang ada.
Namun, sebagai warganegara, Zariah tidak dapat menafikan kekecewaannya.
“Tetapi apa yang boleh kami lakukan?
“Kami ini hanya orang kecil.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan