KOTA TINGGI: Mayat lelaki dipercayai mangsa insiden bot karam di Teluk Ramunia, Pengerang, di sini tiga hari lalu, ditemukan kira-kira lima batu nautika barat daya Pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura, tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Johor, Nurul Hizam Zakaria berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Singapura mengenai penemuan mayat itu, yang dipercayai hanyut sejauh 17.7 batu nautika (kira-kira 28km) dari lokasi bot itu terbalik.
“Berdasarkan dokumen pengenalan diri dijumpai, ia didapati mayat lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun, yang dipercayai salah seorang daripada tiga mangsa kejadian bot karam itu pada 20 Jan lalu.
“Operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keempat diteruskan dengan sektor pencarian di laut merangkumi keluasan 54 batu nautika persegi, dan pencarian di pesisir pantai sepanjang 20km,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi itu melibatkan seramai 76 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, serta komuniti maritim.
Dalam insiden 4.50 pagi Khamis lalu, sebuah bot kayu yang membawa 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan, Indonesia, karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang, dan lima wanita warga Indonesia ditemukan lemas manakala 19 orang terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki, selamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan