Jumaat, 21 Januari 2022

Mahkamah keluar perintah larangan berhimpun esok

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah melarang mana-mana pihak mengadakan perhimpunan di tiga lokasi melibatkan Dataran Merdeka, Kompleks Sogo dan Masjid Jamek, mulai esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata perintah itu dikeluarkan semalam berikutan terdapat laporan mengatakan satu perhimpunan akan diadakan di ibu negara, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata perintah itu berkuat kuasa selama seminggu dan polis tidak menerima sebarang notis permohonan bagi mengadakan perhimpunan itu daripada mana-mana pihak mahupun penganjur perhimpunan terbabit.

“Perhimpunan dilaporkan diadakan esok jelas melanggar undang-undang Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan 10 (Kawalan Berhimpun) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Menurutnya sejumlah 1,010 anggota polis akan ditempatkan di sekitar ibu negara bagi menjalankan tindakan pematuhan prosedur operasi standard, selain mengawasi keadaan.

Noor Dellhan berkata sehubungan itu, enam jalan utama di sekitar Kuala Lumpur akan dilencongkan bermula 7 pagi esok.

“Antara jalan terbabit ialah Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

“Pihak pengoperasian stesen membabitkan Laluan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Keretapi Tanah Melayu Berhad turut akan melaksanakan penghentian sementara pengoperasian di beberapa stesen utama dalam kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi.

Beliau berkata penghentian pengoperasian yang akan dilakukan bermula 7 pagi itu melibatkan Stesen Pudu, Stesen Hang Tuah, Stesen Masjid Jamek, Stesen Plaza Rakyat, Stesen Bandaraya dan Stesen Sultan Ismail, Stesen Kampung Baru dan Stesen Dang Wangi bagi perkhidmatan pengangkutan awam LRT.

“Bagi MRT ia melibatkan Stesen Bukit Bintang, Stesen Merdeka, dan Stesen Pasar Seni,” katanya.

Beliau berkata Stesen Medan Tuanku, Stesen Bukit Nanas, Stesen Raja Chulan, Stesen Bukit Bintang, Stesen Imbi, Stesen Hang Tuah, Stesen Maharajalela, Stesen Tun Sambanthan dan Stesen KL Sentral akan turut terlibat dalam penghentian itu bagi perkhidmatan Monorel.

“KTMB turut sama terlibat dengan penghentian pengoperasian diadakan di Stesen Kuala Lumpur, Stesen Bank Negara dan Stesen Putra,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat kini seramai 16 individu termasuk lima ahli politik dipanggil bagi memberi keterangan berhubung penganjuran perhimpunan itu.

Sebelum ini media melaporkan bahawa satu perhimpunan akan diadakan oleh pihak tertentu bagi menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan.

Tiada ulasan: