Jumaat, 21 Januari 2022

PRN Johor, PAS berpendirian belum sesuai ketika rakyat susah: Tuan Ibrahim


PAS menyatakan pendirian langkah untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Johor belum sesuai ketika ini memandangkan rakyat masih bergelut dengan kesusahan hidup.

Menurut Timbalan presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bencana banjir besar baharu sahaja dihadapi rkayat Johor dan ia menjejaskan banyak kehidupan orang ramai yang sudah pun terpaksa bergelut dengan penularan Covid-19.

Selain itu Tuan Ibrahim berkata, PAS yakin ketika ini rakyat mahu politiking dikurangkan pada waktu ini.

“Saya fikir semua orang mahu kita kurangkan main politik sebab rakyat susah, tapi terpulang kepada kerajaan Johor.

“Kalau terbubar (dewan undangan negeri – DUN) kita terpaksa hadapi pilihan raya,” katanya dipetik BH Online hari ini.

Spekulasi pembubaran DUN Johor semakin panas dengan beberapa pertemuan dalam kalangan pemimpin UMNO negeri itu dilaporkan sedang atau bakal berlangsung.

Laporan media juga mendedahkan semua Bahagian UMNO di Johor dijadual bermesyuarat pada malam ini dengan dipengerusikan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad pula dilaporkan dijangka menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada minggu hadapan bagi memohon perkenan Dewan Undangan Negeri (DUN).

UMNO kini dipercayai berada dalam keadaan yakin untuk memenangi banyak kerusi DUN jika PRN diadakan di Johor. Bagaimanapun sesetengah pemerhati berpendapat inisiatif itu bukan sekadar mencari majoriti yang kukuh buat UMNO di negeri tersebut, malah secara tidak langsung ‘membunuh’ Bersatu.

Pakatan Harapan (PH) juga sebelum ini menyatakan sekarang bukan waktu yang sesuai untuk diadakan PRN.

Tuan Ibrahim berkata sebelum ini sudah ada dua PRN dijalankan iaitu di Melaka dan Sarawak.

Jika boleh, kata Menteri Alam sekitar dan Air itu, PAS tidak mahu terlalu banyak pilihan raya yang berbeza tarikhnya.

“Akhirnya, rakyat akan berada dalam situasi berpolitik sepanjang waktu. Kalau ada PRN seperti di Sarawak jentera akan turun.

“Jadi saya fikir kita kena kurangkan politik,” katanya.

Sementara itu Bernama pula melaporkan Tuan Ibrahim sebagai berkata sebarang perbincangan di antara PAS dengan UMNO untuk PRN Johor hanya akan dibuat selepas DUN dibubarkan.

“Kita tunggu dulu PRN Johor jadi ke tidak, (selepas itu) akan (ada) perbincangan dengan UMNO,” katanya.

Tiada ulasan: