Khamis, 20 Januari 2022

Long Tiger mengaku salah, dipenjara 12 bulan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

LONG Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak hari ini kerana melarikan diri daripada tahanan polis pada 15 Disember lalu.

Tertuduh yang merupakan seorang lelaki berketurunan Rohingya berusia 33 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zaridah Y. Abdul Jaapar.

Zaridah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Disember 2021 di Penjara Kluang.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana tertuduh ditahan secara atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak di sini pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan meminta anggota polis yang ditugaskan membuka gari.

Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk lolos daripada tahanan ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

Ketika melarikan diri, tertuduh juga telah dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 dan 16 Februari ini bagi bicara empat kes melibatkan Abdul Hamim iaitu mengikut Seksyen 388, 342 dan 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak.

Pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

Tertuduh pula diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md. Yusoff.

Tiada ulasan: