Jumaat, 21 Januari 2022

Kelantan pantau bantuan pertanian, usaha menuju Jelapang Makanan Negara

HARAKAH DAILY

BACHOK: Kelantan memantau bantuan kepada usahawan tani bagi memastikan hasrat kerajaan bagi menjadi negeri itu sebagai Jelapang Makanan Negara tercapai sedikit masa lagi.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bantuan tersebut bertujuan untuk memberi galakan kepada petani di negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri membuat lawatan ke 45 Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk melihat bantuan yang disalurkan tidak disia-siakan begitu sahaja tanpa memberi manfaat kepada rakyat.

“Jadi kita kerajaan negeri memang memberi galakan dengan sedikit bantuan supaya projek dapat diteruskan dan berjaya untuk memenuhi pasaran serta menampung keperluan rakyat.

“Saya akan turun ke semua Dun untuk meninjau projek yang telah diberi, tengok perkembangan dia, bila kita turun ini mungkin ada sesuatu penambahbaikan yang kita perlu teruskan beri bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau serta melihat sendiri perkembangan perusahaan penternakan ikan hiasan di Kampung Lubuk Kuin, Jelawat di sini, semalam.

Projek yang diusahakan oleh Hamid Hamzah, 58, sejak 2018 itu, turut menerima bantuan dan sokongan kerajaan negeri melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Abdul Azziz Kadir.

Dalam lawatan itu, Tuan Saripudin yang juga Adun Selising turut meninjau lima lokasi perusahaan kecil-kecilan penduduk tempatan yang menerima bantuan kerajaan negeri dalam sektor pertanian.

Selain penternakan ikan hiasa, beliau turut dibawa melawat bengkel pemprosesan makanan haiwan ruminan, pembuatan sabun, kolam penternakan ikan jelawat dan penyerahan baja padi, atom organik. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: