Khamis, 13 Januari 2022

Lega masalah bekalan air sejak 20 tahun lalu selesai

Mohd Zakhwan (kanan) melihat kerja penyelenggaraan tangki simpanan air daripada telaga tiub di FELDA Sungai Retang, hari ini. - NSTP/ROSELAN AB MALEK
Mohd Zakhwan (kanan) melihat kerja penyelenggaraan tangki simpanan air daripada telaga tiub di FELDA Sungai Retang, hari ini. - NSTP/ROSELAN AB MALEK

JERANTUT: Kira-kira 100 keluarga di FELDA Sungai Retang, di sini, lega dan bersyukur kerana masalah bekalan air yang dihadapi sejak 20 tahun lalu, diselesaikan melalui pelaksanaan projek telaga tiub oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, berkata inisiatif projek menyalurkan bekalan air bersih yang menggunakan dana Wakaf Air itu meliputi pemasangan tangki simpanan air berkapasiti 11,355 liter.

Beliau berkata, ia sekali gus membantu menangani masalah bekalan air di FELDA berkenaan, termasuk tekanan air rendah khususnya di Jalan Jengkuar dan Jalan Silang.

"Pemasangan tangki besar yang boleh menyimpan air daripada telaga tiub berkenaan, dapat menampung keperluan harian kira-kira 100 keluarga di kawasan FELDA Sungai Retang.

"Selain itu, dua projek telaga tiub menggunakan dana Wakaf Air juga sudah dibina di Kampung Batu Balak, Kuala Tembeling, dan Kampung Tanah Pindah di Bukit Mat Daling, Hulu Tembeling, berikutan penduduk di situ berdepan masalah bekalan air sejak sekian lama.

"Saya berterima kasih kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan semua pihak terbabit dalam menjayakan projek ini. Diharapkan penduduk terbabit dapat menerima bekalan air bersih dengan sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja penyelenggaraan tangki simpanan air daripada telaga tiub di FELDA Sungai Retang, hari ini.

Sementara itu penduduk FELDA Sungai Retang , Mohd Nazri Abdullah, 42, menzahirkan perasaan syukur dan penghargaan terhadap inisiatif menyelesaikan masalah bekalan air yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

"Kami sering terputus bekalan air, terutama ketika musim kemarau, selain berdepan masalah tekanan air rendah di kawasan tinggi sejak lebih 20 tahun lalu.

"Selain pelaksanaan projek telaga tiub ini, diharapkan loji air berdekatan akan turut dinaik taraf untuk kemudahan pembekalan yang sempurna pada masa depan," katanya.

Tiada ulasan: