Ahad, 23 Januari 2022

Kerajaan lulus RM2 juta bina masjid baharu Kg Felda Belara

Wartawan WartaRakyat

kerajaan masjid

KERAJAAN meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan Masjid Felda Belara yang baharu, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan dana pembinaan masjid itu bagi menampung pertambahan jumlah jemaah di kawasan berkenaan.

“Saya menyampaikan hasrat ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas ahli kariah bertemu dengan saya sebelum ini bagi mengemukakan permohonan untuk membina masjid baharu, alhamdulillah beliau memberikan reaksi yang amat positif.

“Jadi sukacita saya umumkan bahawa kerajaan telah bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan masjid baharu,” katanya di Kampung Felda Belara, Kuala Nerus.

Mohd Khairuddin berkata, usaha segera dilakukan oleh pihaknya selepas menerima permohonan berkenaan memandangkan masjid yang sedia ada hanya mampu menampung seramai 500 jemaah sahaja.

“Saya mencuba sedaya-upaya untuk membantu bagi merealisasikan hasrat rakyat di kampung ini apatah lagi masjid adalah simbol kekuatan syiar Islam,” katanya.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana merealisasikan hasrat penduduk kempung berkenaan.

“Penduduk kampung ini turut bersyukur di atas keprihatinan kerajaan atas permintaan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: