KELUARGA Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berinteraksi dengan bekas Perdana Menteri itu yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau dah ahli-ahli keluarga yang lain berharap orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih mengenai keadaan Dr Mahathir.
“Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, di dalam dan luar negara, yang telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin dan juga orang ramai dari pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh.
“Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih,” katanya.
Marina berkata, IJN dan keluarganya akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan rawatan Dr Mahathir.
Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berada di Rawatan Rapi Koronari, IJN dan berada di bawah pemantauan rapat oleh pakar perubatan di situ.
Sebelum ini, beliau dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif pada Jan 7 lalu sebelum dibenarkan pulang pada 13 Januari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan