Selasa, 18 Januari 2022

Jangan terlalu drastik laksana RFID, kekalkan Smart Tag dan Touch ‘n Go

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

ARAU: Pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) tidak sepatutnya tergesa-gesa sebaliknya memerlukan kajian lebih mendalam agar tidak menyusahkan rakyat selain menyebabkan kesesakan di laluan-laluan berkenaan.

Dalam masa sama, Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura Universiti Utara Malaysia (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis turut berharap agar sistem sedia ada seperti Smart Tag dan Touch ‘n Go yang sudah sebati dengan pengguna jalan raya tidak dimansuhkan.

Katanya, transaksi tol menggunakan RFID itu boleh dilaksanakan namun biarlah secara beransur-ansur bukan terlalu drastik yang lebih mengundang masalah kepada pengguna jalan raya selain dilihat masih kurang efisyen kerana terdapat pelbagai masalah berbangkit.

Ads by Kiosked
KAMARUL AZMAN KHAMIS

“Laksana secara perlahan-perlahan (RFID) dan dalam masa sama, Smart Tag dan Touch ‘n Go tidak dimansuhkan terus. Smart Tag dan Touch ‘n Go dilihat memudahkan pengguna selain boleh digunakan lebih daripada satu kenderaan berbanding RFID.

“Penduduk luar bandar khususnya yang melakukan perjalanan lebih selesa menggunakan Smart Tag dan Touch ‘n Go berbanding RFID yang bagi mereka (pengguna) agak terlalu baru dan masih belum biasa,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, pergerakan ribuan kenderaan di beberapa plaza tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) terjejas sehingga menimbulkan kesesakan di kedua-dua hala apabila sistem RFID dipercayai tidak berfungsi dengan baik.

Malah, di media-media sosial juga ramai yang membantah pelaksanaan sistem berkenaan yang disifatkan terlalu drastik sekali gus menyusahkan pengguna jalan raya.

Transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di PLUS bermula 15 Januari lalu.

Susulan itu, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mahu PLUS dan Touch ‘n Go Group supaya menyelesaikan semua isu yang timbul berkaitan teknologi RFID dengan segera.

Sementara itu, kata Kamarul Azman, sistem tol yang lebih berkesan adalah pengguna tidak perlu memperlahankan kenderaan ketika melaluinya bukan terpaksa berbaris panjang sehingga berdepan kesesakan ekoran masalah pengesanan di lorong RFID.

“Sebab itu, kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya agar tidak mengundang masalah yang akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat sendiri.

“Sebab itu, ia perlu dilaksanakan secara perlahan-lahan bukan terlampau drastik dengan memastikan terlebih dahulu sistem berkenaan benar-benar efisyen dan tidak menyusahkan,” katanya.

Tiada ulasan: