Selasa, 18 Januari 2022

Wanita Orang Asli lahir bayi kembar dalam bot

 Oleh ASLIZA MUSA

NUR Shaffriza Mohd. Shaffril (kiri) dan rakan pasukan perubatan yang membantu kelahiran bayi kembar di dalam bot ambulans yang sedang bergerak melalui Tasik Banding di Gerik, Sabtu lalu. - IHSAN NUR SHAFFRIZA

GERIK: Seorang wanita Orang Asli melahirkan bayi kembar lelaki dalam sebuah bot ambulans ketika melalui Tasik Banding untuk ke Hospital Gerik, Sabtu lalu. 

Zantima Zabree, 34, selamat melahirkan bayi kembarnya pada pukul 11.20 hingga 11.25 pagi, dibantu pegawai perubatan, jururawat kesihatan, jururawat masyarakat dan penolong perawatan kesihatan Klinik Pos Kemar.

Kelahiran bayi dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram itu dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melalui hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini

Menurut JKN Perak, kelahiran itu berlaku semasa usaha membawa wanita dengan usia kandungan 35 minggu ke Hospital Gerik setelah dikesan sedang sakit untuk bersalin oleh jururawat masyarakat yang membuat lawatan ke rumahnya.

Katanya, tindakan pantas anggota kesihatan membolehkan wanita terbabit melahirkan bayi kembarnya dengan selamat.

“Ibu dan bayi kembar itu dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi mendapatkan rawatan susulan,” ujar kenyataan itu.

Sementara itu, jururawat kebidanan, Nur Shaffriza Mohd. Shaffril, 34, berkata, meskipun telah biasa menyambut kelahiran bayi, proses kelahiran kembar itu bagaimanapun berbeza kerana dilakukan ketika bot sedang bergerak.

Namun katanya, kerjasama pegawai perubatan dan jururawat masyarakat memudahkan proses kelahiran bayi itu dengan selamat.

“Ibu bayi itu mengadu sakit mahu bersalin ketika lawatan jururawat masyarakat ke rumahnya di Kampung Bal Stol, Rancangan Penempatan Semula (RPS), Kemar. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, wanita itu memberitahu mahu meneran di mana pemeriksaan mendapati kepala bayi juga sudah kelihatan,” katanya.

Menurutnya, meskipun berasa cemas, dia bersyukur kerana proses kelahiran berjalan lancar kerana kelengkapan untuk bersalin memang telah disediakan sejak awal.

“Proses kelahiran bayi kembar ini bagi saya amat menarik kerana saya dapat melihat sendiri bayi kedua dilahirkan dalam keadaan masih di dalam ‘karung’.  Kami perlu pecahkan karung itu untuk keluarkan bayi tersebut. Bagi saya, pengalaman ini amat bermakna kerana ia jarang berlaku,” katanya yang telah berkhidmat sebagai jururawat kebidanan sejak empat tahun lalu.

Untuk rekod, Pos kemar adalah sebuah petempatan orang asli di kawasan Gerik di mana penduduk menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar masuk.

Jarak antara perkampungan itu untuk ke Hospital Gerik mengambil masa hampir dua jam menggunakan laluan air dan darat. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: