Jumaat, 14 Januari 2022

Harga rumah di kawasan banjir turun

Harga dan nilai harga di kawasan yang dilanda banjir dijangka turun susulan permintaan yang lebih rendah. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah
Harga dan nilai harga di kawasan yang dilanda banjir dijangka turun susulan permintaan yang lebih rendah. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Harga dan nilai harga di kawasan yang dilanda banjir dijangka turun susulan permintaan yang lebih rendah, namun kesan negatif itu adalah bersifat sementara, kata penganalisis.

Berdasarkan kajian empirikal, TA Securities berkata, harga hartanah di kawasan terjejas bencana itu akan meningkat semula sejajar dengan pemulihan pasca banjir.

Ia berkata, faktor konvensional seperti lokasi hartanah yang terletak berdekatan dengan kemudahan; aktiviti ekonomi dan ketersediaan pekerjaan serta saiz tanah dan bangunan terus memberi impak ketara terhadap harga hartanah.

"Secara keseluruhannya, risiko banjir tidak menghalang orang ramai daripada pemilikan hartanah atau pilihan lokasi untuk didiami.

Walaupun kami tidak menolak penurunan dalam permintaan dan nilai bagi hartanah yang terletak di wilayah yang terjejas teruk, kajian empirikal yang dijalankan di dalam dan luar negara menunjukkan bahawa kesan negatif adalah sementara, dengan harga mula meningkat semula seiring dengan pasca pemulihan bencana," katanya dalam nota penyelidikannya.

Mengulas lanjut, TA Securities berkata, berdasarkan penelitian membabitkan pengaruh bahaya banjir terhadap pasaran hartanah kediaman di Selangor mendapati trend harga transaksi hartanah kediaman di kawasan yang terdedah kepada banjir seperti di Klang dan kawasan yang tidak terdedah kepada banjir adalah agak sama untuk tempoh suku pertama 2015-suku ketiga 2021.

Sementara itu, ia berkata, penelitian yang dilaksanakannya juga mendedahkan bahawa banjir baru-baru ini tidak menjejaskan jualan hartanah di Bandar Bukit Raja dan Setia Alam pada ketika ini.

Menuju ke depan, TA Securities berkata, bencana banjir kilat terburuk baru-baru ini memberi isyarat kepada pembeli rumah untuk lebih peka dengan kawasan kejiranan yang mereka pilih sebelum membeli.

Pada masa yang sama, ia berkata, keadaan itu juga memberi peringatan kepada pemaju supaya berhemat dalam menentukan tempat untuk membina rumah.

Katanya, sementara perangkaan menunjukkan bahaya banjir memberi kesan terhad kepada nilai hartanah kediaman dan sebarang penurunan harga terhadap hartanah di kawasan banjir berkemungkinan bersifat sementara, pemaju dijangka menumpukan lebih perhatian kepada kawalan saliran pada masa depan berikutan kesedaran terhadap kelestarian perbandaran meningkat.

"Dalam konteks ini, kami menjangkakan bahawa perbandaran masa depan bukan saja akan direka untuk meminimumkan jejak karbon menerusi langkah kecekapan tenaga dan komitmen terhadap kelestarian melalui peningkatan ruang hijau, serta pemeliharaan flora dan fauna, tetapi juga menggabungkan kejuruteraan semula jadi laluan air dan kolam tadahan yang mengambil kira tebatan banjir.

"Justeru, kami menggesa kerajaan untuk melaksanakan langkah tebatan banjir jangka pendek dan jangka panjang dengan segera, termasuk menaik taraf perparitan dan infrastruktur pantai," katanya.

Tiada ulasan: