Jumaat, 14 Januari 2022

Pengawal keselamatan dipenjara 5 tahun, denda langgar anak tiri

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan dipenjara lima tahun dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, di sini, hari ini kerana melanggar anak tirinya

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Ramlan Abdul Karim, 32, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadap dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak tirinya iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dengan menggunakan sebuah motosikal Yamaha Y15.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Kampung Padang, di sini, pada 7 Januari 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Shivasangari memohon kepada mahkamah agar hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mempunyai tanggungan termasuk ibu dan ayah serta menyesal atas tindakan dilakukan itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara lima tahun dan didenda RM2,000 selain dia juga berdepan dua bulan lagi penjara jika gagal membayar denda dikenakan.

Tiada ulasan: