SEMEMANGNYA perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah sekarang semakin popular. Anda hanya perlu memilih apa perkhidmatan ‘delivery’ yang hendak digunakan, tempah melalui telefon atau komputer, maka makanan akan sampai di pintu rumah.
Tetapi sebenarnya bukan makanan sahaja, perkhidmatan ‘delivery’ pelacur juga agak mudah digunakakan sekarang apabila pelanggan hanya perlu memilih gambar wanita yang mereke kehendaki melalui perkhidmatan WhatsApp atau WeChat.
Selepas pembayaran dibuat secara dalam talian, wanita pilihan tersebut akan dihantar oleh ejen ke hotel atau destinasi pilihan pelanggan untuk memberikan perkhidmatan mereka.
Walaupun perkhidmatan ‘delivery pelacur’ sememangnya telah lama wujud di kebanyakan bandar besar sebelum ini tetapi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan operasi di kawasan pelacuran yang semakin giat oleh pihak berkuasa menyebabkan perkhidmatan ‘delivery’ semakin popular di sekitar ibu kota.
Menurut laporan Harian Metro, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu itu mengenakan bayaran RM250 bagi setiap perkhidmatan seks disediakan mereka.
Bagi mengelakkan tindakan mereka dikesan, sindiket menggunakan ejen penghantar atau ‘transporter’ digunakan, bertujuan mengawal wanita yang diperdagangkan mereka.
Malah, wanita itu juga dipaksa bekerja 12 jam setiap hari dan sentiasa dipastikan berada dalam kenderaan ‘transporter’ itu termasuk makan serta minum.
Dalam satu serbuan oleh Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman Rabu di kawasan sekitar sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur Rabu lalu, seramai enam ‘transporter’ ditahan dan 17 wanita berjaya diselamatkan.
Kejayaan operasi itu disahkan Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus yang memaklumkan, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket beroperasi di sekitar kawasan Bukit Bintang, Jalan Pudu dan Kuala Lumpur.
“Sindiket dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan cara mengiklankan gambar wanita warga asing dan individu berminat akan membuat tempahan menerusi WhatsApp.
“Bayaran yang dikenakan kepada pelanggan adalah RM250. Daripada jumlah itu, sebanyak RM140 adalah untuk sindiket dan RM110 adalah untuk wanita terbabit,” katanya.
Bukit Aman menjangkakan sindiket pelacuran akan menggiatkan operasi mereka secara maya selain menggunakan pendekatan bergerak berbanding menyewa premis untuk kegiatan persundalan itu.
Mengakui perubahan modus operandi itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, trend berkenaan dijangkakan berterusan pada tahun mendatang. – UtusanTV
Tiada ulasan:
Catat Ulasan