Ahad, 9 Januari 2022

4 sekeluarga nyaris maut selepas SUV dipandu rempuh sekawan lembu di Setiu

suv
Kereta yang dipandu Shida remuk teruk selepas merempuh sekawan lembu berkeliaran.

SEBUAH keluarga nyaris maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu merempuh sekawan lembu yang dibiar berkeliaran dalam satu kemalangan berhampiran Setiu, Terengganu pada malam kelmarin.

Menurut Shida Mohd, 32, kejadian berlaku ketika dia sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Besut ke Kuala Terengganu melalui jalan pantai.

“Sampai ke kawasan Merang, tiba-tiba sekawan lembu melintas dan saya terus melanggar haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Dalam keadaan cemas itu, dia bersama suami berserta dua orang anak selamat walaupun kereta Perodua Aruz milik mereka remuk teruk pada bahagian hadapan.

Katanya, ketika kemalangan berlaku, dia memandu kenderaan manakala suami dan dua orang anak berada di bahagian belakang.

“Anak saya berusia tiga dan satu tahun kedua-duanya menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak,” katanya dan menambah keadaan jalan ketika itu gelap disebabkan kekurangan lampu jalan.

Tambahnya, sekurang-kurangnya dua ekor lembu dirempuhnya malam itu, namun tidak dapat dipastikan dengan jelas disebabkan dia panik selepas kemalangan berlaku.

“Saya rasa ada lebih daripada 10 ekor ketika kejadian yang secara tiba-tiba melintas jalan,” katanya.

Kata Shida, dia sempat mengawal kenderaan ketika kemalangan berlaku walaupun terbabas sedikit ke bahu jalan.

“Sedih apabila tengok kereta tak sampai setahun pakai, kemek teruk dan hancur pada bahagian hadapan,” katanya.

Ujarnya, disebabkan kemalangan itu, dia dan anaknya yang sulung jadi trauma.

“Alhamdulillah semalam buat pemeriksaan kesihatan, anak-anak tidak alami sebarang komplikasi. Saya dan suami cuma sakit-sakit badan akibat impak kemalangan.”

Tiada ulasan: