Khamis, 20 Januari 2022

22 lagi pelatih Pulapol Air Hitam positif Covid-19


Seramai 22 lagi pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan disahkan dijangkiti Covid-19, hari ini.

Ini menjadikan keseluruhan kes melibatkan Kluster Air Hitam kepada 150 kes, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi seramai 640 individu menjalani ujian saringan dan 150 daripada mereka didapati positif Covid-19, manakala 490 lagi negatif.

“Semua individu terbabit sudah mendapat keputusan ujian saringan dan tiada lagi individu sedang menunggu keputusan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Difahamkan, Kluster Air Hitam Jempol diisytiharkan pada Khamis lalu dan operasi latihan di Pulapol berkenaan sudah dihentikan selain asrama turut ditutup dan menjadi pusat isolasi.

Berdasarkan statistik laman sesawang Covidnow, sebanyak 128 kes positif Covid-19 dilaporkan di Pulapol Air Hitam pada 13 Januari lalu.

Veerapan dilaporkan berkata, kes indeks kluster itu bermula dengan saringan bergejala terhadap lima pelatih, dan keputusan adalah positif.

Mengulas mengenai bilangan kes di Negeri Sembilan, beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 115,971 kes dan jumlah keseluruhan kes kematian pula sebanyak 1,329.

“Terdapat 171 kes baharu dilaporkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS). Sebanyak 138 kes dalam negara dan bakinya luar negara,” katanya.

Tiada ulasan: