PUCHONG: Memindahkan mangsa banjir yang terkandas dengan segera dan memberikan bantuan makanan adalah keutamaan kerajaan pada masa kini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, apa yang penting kini adalah menyelamatkan nyawa mangsa yang terkandas terutama yang masih berada di kediaman masing-masing perlu segera dipindahkan ke kawasan selamat kerana mereka tidak mengetahui sama ada paras air akan terus naik atau surut.
Berikutan itu, katanya, pihaknya sudah menghubungi Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, bagi menggerakkan anggota dan aset bagi membantu proses perpindahan mangsa yang terperangkap.
"Selain itu, kita tahu ketika proses perpindahan tiada makanan, jadi kita sudah minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghantar makanan sementara makanan lain akan diuruskan esok.
"Jadi saya minta, kesemua mangsa banjir ini berhati-hati, jaga anak masing-masing dan kekalkan berada di tempat selamat. Kita sedang dapatkan maklumat lanjut berapa ramai lagi yang terperangkap," katanya pada sidang media berkaitan situasi terkini banjir di Markas SMART Nadma, di sini.
Hadir sama Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut meminta mangsa banjir yang inginkan bantuan supaya menghubungi Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di talian 03-80642400.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan