Sabtu, 18 Disember 2021

Uranus pernah dilanggar objek dua kali ganda saiz Bumi

Oleh KOSMO!
Uranus berputar pada bahagian sisi dengan paksinya menghala hampir pada sudut tepat kepada kesemua planet lain dalam sistem suria. - Getty Images/Science Photo Library RF

LONDON – Sekumpulan saintis membuat penemuan baharu bahawa Planet Uranus berkemungkinan besar pernah dilanggar oleh sebuah objek angkasa lepas yang bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada Bumi, lapor akhbar Daily Star semalam.

Kajian  dilakukan oleh  penyelidik dari Universiti Durham, England itu mendapati  planet tersebut berkemungkinan dilanggar objek yang terhasil daripada batuan atau ais sekitar empat bilion tahun lalu.

Dalam artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Astrophysical, pasukan penyelidik berkenaan menggunakan 50 senario hentaman bagi membuat penemuan tersebut.

Ia turut mendapati bahawa serpihan daripada impak kitu bertindak sebagai ‘perisai terma’ untuk  Uranus  yang menjadi punca planet itu mempunyai bahagian atmosfera luar yang lebih sejuk.

“Uranus berputar pada bahagian sisi dengan paksinya menghala hampir pada sudut tepat kepada semua planet lain dalam sistem suria.

“Ini hampir pasti disebabkan oleh impak hentaman ‘gergasi’, namun kami hanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenai bagaimana fenomena ini berlaku serta bagaimana ia memberi kesan kepada planet itu,” kata ketua penyelidik, Jacob Kegerreis.

Tambah Kegerreis, penemuan daripada penyelidikan tersebut turut menunjukkan bahawa Uranus  terlibat dalam satu pelanggaran dahsyat dengan sebuah objek yang bersaiz dua kali ganda daripada jisim Bumi.

“Jika saiznya tidak terlalu besar sekali pun, objek itu pasti telah membuatkan Uranus bergerak ke bahagian tepi. Ini seterusnya menyebabkan ia membentuk planet tersebut dalam keadaan seperti apa yang kita lihat pada hari ini,” ujarnya. – AGENSI

Tiada ulasan: