Sabtu, 18 Disember 2021

Banjir: 225 mangsa di Melaka dipindahkan ke PPS

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Pasukan bomba membantu memindahkan mangsa yang terjejas di Lubok China, Alor Gajah hari ini.

MELAKA – Seramai 225 penduduk di negeri ini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterus lebih lima jam, semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini, sebanyak lima PPS telah dibuka di Alor Gajah.

Katanya, lima PPS tersebut adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, SK Cherana Puteh, SK Telok Berembang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan dan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Jelatang.

“Seramai 225 mangsa daripada 58 buah keluarga telah dipindahkan ke PPS di Alor Gajah kerana kediaman mereka telah dinaiki air banjir kilat.

“Setakat ini kawasan terjejas teruk adalah di Alor Gajah dan kesemua mangsa dipindahkan adalah dari daerah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini sebanyak 24 kawasan dilanda banjir kilat dengan sembilan di Alor Gajah, Melaka Tengah (14) dan Jasin (satu).

“Di Alor Gajah kawasan terjejas adalah di Kampung Bukit Tambun, Kampung Balai, Kampung Jeram, Kampung Taboh Naning, Pekan Lubok China, Ramuan Besar China, Taman Seri Bayu, Kampung Pengkalan dan Kampung Panchor.

“Di Melaka Tengah membabitkan Taman Bukit Beruang Melawis, Batu Hampar, Malim Jaya, Hang Tuah Mall, Jalan Ong Kim Wee, Kampung Enam, Kampung Hulu, Melaka Baru, Kampung Sungai Putat, Empangan Klebang, Taman Merdeka, Kampung Morten dan Kampunh Cheeti,” katanya. -K! ONLINE

Tiada ulasan: