MALAYSIA POST
KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa partinya telah dijemput menyertai Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Justeru, beliau mempertikaikan kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini supaya jangan memaksa Umno untuk menerima Bersatu dalam MN kerana ia bercanggah dengan semangat sebenar gagasan itu.
“Tok Mat (Mohamad Hasan) juga berkata untuk memaksa Umno menerima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan.
“Bagaimana pula Tok Mat boleh kata bahawa Umno dipaksa menerima Bersatu dan menerima Bersatu bercanggah dengan semangat MN?
“Takkan Tok Mat buat-buat lupa bahawa dia sendiri yang pengerusikan mesyuarat yang putuskan untuk jemput Bersatu masuk MN. Bagaimana boleh dipaksa….,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Saiful juga mengingatkan kembali detik Umno menyeru Bersatu menyertai MN pada Ogos 2020.
“Bukankah Timbalan Presiden pengerusikan mesyuarat yang membuat keputusan jemput Bersatu, dan Presiden pula tandatangan surat jemputan serta umumkan ke seantero negara?
“Biar saya nyatakan kronologi sebenar supaya rakyat boleh faham siapa yang melanggar semangat MN.
“Piagam MN dilancarkan pada 2019. Pada Ogos 2020, Presiden Umno menyatakan bahawa Tok Mat telah mempengerusikan mesyuarat MN yang buat keputusan untuk jemput Bersatu,” katanya.
Mengulas mengenainya, Wan Saiful menjelaskan, susulan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mohamad itu, satu surat jemputan kepada Bersatu telah ditandatangani Presiden PAS dan Presiden Umno bertarikh 13 Ogos 2020.
“Bersatu kemudian bersetuju menerima jemputan itu. Tarikh surat penerimaan dari Bersatu ialah 18 Ogos 2020.
“Pada bulan Mac 2021 Umno buat keputusan dalam Perhimpunan Agung untuk tolak penyatuan ummah dan tak mahu kerjasama. Maksudnya Umno sendiri mengubah keputusan yang dia buat pada Ogos sebelumnya,” katanya.
Oleh itu, Wan Saiful mempersoalkan, siapakah yang sebenarnya ikhlas mendukung piagam MN.
“Ke mana hilangnya semangat Piagam MN yang membawa kepada keputusan untuk berkerjasama pada Ogos sebelum itu? Surat dah sign, tapi siapa yang ubah?
“Kalau kita telusuri kronologi dengan jujur, siapa yang ikhlas dengan Piagam MN dan siapa yang langgar Piagam MN?
“Dato Seri Utama Mohamad Hasan sudah berbunyi macam PH apabila berkata Piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat.
“Kalau piagam tidak mengikat, apa yang mengikat? Adakah firman Abang Long satu-satunya ikatan yang dia nak ambil kira?” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan