JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang beroperasi 24 jam dan menahan lima lelaki warga Indonesia dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Engku Tun Aminah, di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata serbuan pada kelmarin itu hasil maklumat awam dan risikan dijalankan polis selama lebih sebulan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek berusia 21 hingga 29 tahun itu berperanan sebagai operator tambah nilai kredit dan pengeluaran kredit judi dalam talian.
"Pemeriksaan mendapati premis berpagar dan mempunyai pengawal itu dijadikan pusat judi dalam talian yang menawarkan perjudian melalui tiga laman sesawang iaitu www.gin557.com, www.gingin8.com dan www.gin551.com.
"Sindiket ini menyasar pelanggan tempatan dengan nilai kutipan antara RM3,000 hingga RM10,000 sehari dengan premis itu dipercayai beroperasi sejak Mac lalu.
"Semua transaksi adalah melalui perbankan dalam talian daripada beberapa akaun yang dikenal pasti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, hari ini.
Ayob berkata, siasatan juga mendapati semua suspek yang ditahan dibayar gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, selain menerima komisen antara RM500 hingga RM800 berdasarkan keuntungan bulanan.
"Polis turut merampas tiga komputer riba, satu tablet, 15 unit telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem Wi-Fi dan kunci rumah.
"Semua suspek dipercayai masuk ke negara ini sejak 2019 melalui pas lawatan sosial dan pasport mereka dipegang oleh ejen sindiket itu," katanya.
Katanya, semua suspek direman empat hari bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan