KANGAR: Dua nelayan dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bot di Sungai Perlis berhampiran Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis, di sini, semalam.
Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, dari Kampung Sena, Kangar dan rakannya, Abdul Rashid Md Derus, 45, dari Seremban, Negeri Sembilan dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu akibat pelanggaran terbabit.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa yang menaiki bot fiber menyusuri sungai menuju ke Jeti Tok Kuning.
"Namun, secara tiba-tiba bot mereka berlanggar dengan sebuah lagi bot yang lebih besar dari arah bertentangan, kira-kira satu kilometer dari jeti berkenaan.
"Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai, manakala pemandu sebuah lagi bot tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, bot dinaiki mangsa mengalami kerosakan di bahagian kanan hadapan dan tengah.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan dengan penubuhan pusat kawalan di tempat kejadian di Jeti Tok Kuning Kuala Perlis.
"Seramai 28 anggota polis, termasuk lima pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar dan Balai Polis Kuala Perlis dikerahkan dalam operasi itu, selain 16 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri dan lapan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan