‘SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya ke tanah juga.’ Mungkin perumpamaan ini sesuai digunakan untuk satu kes menarik yang dibicarakan di mahkamah hari ini apabila seorang ahli perniagaan yang pernah melarikan diri dari dikenakan hukuman penjara, akhirnya berjaya juga diberkas polis.
Tidak diketahui punca ahli perniagaan itu kembali ke Malaysia selepas sekian lama di negara jiran, beliau yang menggunakan pasport Indonesia ditahan polis selepas ujian biometrik mendapati adalah ‘si pesalah’ yang pernah melarikan diri selepas dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan ahli perniagaan tersebut, Datuk Paiman Shakimon menjalani hukuman penjara 13 tahun yang pernah dijatuhkan terhadapnya sebelum ini.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memerintahkan Paiman, 62, yang hadir ke mahkamah menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadapnya yang disabitkan kesalahan menipu dan memalsukan dokumen.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh yang telah menghilangkan diri selama sembilan tahun berjaya diberkas polis.
“Tertuduh didapati masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia. Hasil semakan menggunakan sistem biometrik cap jarinya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan dia sememangnya Paiman bin Shakimon,” katanya.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria menafikan dia adalah “Paiman Shakimon”.
Muhammad Jamil menolak penafian tertuduh itu atas alasan keputusan cap jari JPN jelas menunjukkan identiti sebenarnya.
Paiman sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 13 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadapnya pada 2011 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta.
Bagaimanapun, ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, lelaki itu menghilangkan diri dan pada 20 Julai 2012, mahkamah mengeluarkan waran tangkap serta waran pemenjaraan juga dikeluarkan terhadapnya pada 11 Oktober tahun sama kerana gagal hadir pada prosiding rayuannya.
Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.
Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan