Selasa, 14 Disember 2021

Rosmah tak tanding PRN Sarawak, DAP naikkan poster kempen guna gambarnya


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa membawa turun poster gambar poster Datin Seri Rosmah Mansor yang dinaikkan jentera DAP sebagai bahan kempen mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Jentera DAP bertindak menaikkan poster wajah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Rosmah sebagai bahan kempen menjelang lima hari lagi pengundian 18 Disember ini.

Calon DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen mempertahankan langkah mereka menaikkan poster tersebut dan mendakwa DAP tidak melanggar peraturan menaikkan wajah musuh politik mereka.

Dalam hantaran di Facebook, calon DAP itu berkata SPR tidak sepatutnya menurunkan poster tersebut atas alasan mahu mengekalkan kemenangan mereka yang diperoleh semasa pilihan raya umum lalu.

“Papan iklan ini hanya menggambarkan bagaimana keputusan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu telah membawa perubahan baharu untuk Sarawak dan Malaysia. Kami mencapai kemenangan besar waktu itu yang tidak dijangka, pertama, kerana Najib dan Rosmah yang didakwa rasuah.

“Kedua, pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) telah meringankan beban rakyat dan ketiga, pengagihan lebih adil kepada sekolah-sekolah Cina, yang pada asasnya mesej kami ialah undi rakyat sangat penting. Namun, ia tidak diterima baik oleh 10 petugas SPR dengan bos mereka.

“Saya berdiri di sebelah menyaksikannya dengan perasaan kecewa. Walaupun kuasa yang ada mungkin ‘memadamkan’ mesej kami dari papan iklan ini, taktik seperti ini tidak akan melenyapkannya daripada fikiran rakyat.

“Melalui kuasa undilah, kita akhirnya telah melihat salah seorang kleptokrat terbesar di dunia disabitkan kesalahan di mahkamah dan pencapaian ini tidak mungkin tanpa ramai rakyat Sarawak keluar mengundi,” katanya hari ini.

Terdahulu, DAP juga bertindak memasang poster memaparkan poster Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian yang telah disunting dengan diiringi kenyataan bahasa Melayu dan Cina berbunyi ‘Tolak Gabungan PAS Sarawak’.

Tiada ulasan: