Selasa, 14 Disember 2021

Ismail Sabri tersepit, UMNO calon tiga nama jadi PM jika menang PRU15


Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal berdepan cabaran besar untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri (PM) yang dipegang sekarang ini jika mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum pemilihan parti.

Ini kerana ura-ura sudah mula kedengaran bahawa parti itu akan mengemukakan sekurang-kurangnya nama tiga calon PM setelah UMNO dan Barisan Nasionan (BN) menang besar pada PRU15 nanti.

Walaupun salah seorang daripada calon itu adalah Ismail Sabri, namun dua lagi individu juga dikatakan mempunyai kebolehan lebih baik yang mampu mengangkat semula UMNO ke era kegemilangannya.

Mengikut hirarki kepemimpinan yang menjadi amalan sebelum ini, pemimpin parti yang mempunyai majoriti sokongan akan dilantik menjadi PM dan bagi UMNO serta BN, pastinya individu berkenaan adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Nama kedua yang disebut-sebut sebagai calon PM ialah Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sebagai Pengarah Pilihan Raya BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu.

Bagaimanapun Agenda Daily difahamkan akan berlaku situasi ‘menang menang’ sekiranya Zahid setuju tidak dilantik sebagai PM, sebaliknya memilih Mohamad yang lebih dikenali Tok Mat Hasan.

Sebab itu, Tok Mat Hasan mencadangkan supaya pemilihan parti ditangguhkan terlebih dahulu sehingga selepas PRU15 kerana beliau yang diuar-uarkan akan bertanding pada peringkat Parlimen, boleh mengekalkan jawatan Timbalan Presiden.

Zahid pastinya bersetuju pemilihan parti diadakan selepas PRU15, walaupun pada awalnya berjanji pemilihan UMNO akan diadakan tahun ini. Beliau pasti memikirkan kedudukannya sebagai Presiden sekiranya pemilihan parti diadakan sebelum PRU15.

Jika dilihat situasi sekarang, kedudukan Zahid sangat terancam kerana Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menjadi PM, selain Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sendiri kini berdepan puluhan tuduhan jenayah di dua Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Walaupun Zahid berdepan kes jenayah, namun sehingga sekarang beliau masih mampu menguasai Majlis Tertinggi (MT) dan akar umbi parti dan mahu mengekalkannya sehingga selepas PRU15, bagi melayakkan dirinya menjadi PM ke sepuluh.

Sementara kes mahkamahnya terus berjalan, Zahid juga pasti bersetuju pemilihan UMNO diadakan selepas PRU15, kerana sebelum ini sudah kedengaran ura-ura Ismail Sabri akan bertanding jawatan Presiden, manakala Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula bertanding Timbalan Presiden.

Bagi sesetengah pihak sekarang ini, gandingan Ismail Sabri dan Hishammuddin jauh lebih mantap untuk menerajui UMNO dan negara, berbanding Zahid-Tok Mat Hasan.

Apa lagi kedudukan Ismail Sabri sebagai PM dan Hishammuddin pula Menteri Kanan, pastinya memberi kelebihan kepada kedua-duanya untuk menyaingi Zahid dan Tok Mat Hasan.

Namun, jika PRU15 diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan, ini akan membuka peluang cerah dan lebih baik kepada Zahid-Tok Mat Hassan, untuk kekal menerajui UMNO, sekali gus menjadi PM dan Timbalan Perdana Menteri.

Peminat politik bagaimanapun tidak boleh mengetepikan peranan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak yang sejak PRN Melaka semakin popular dalam kalangan akar umbi.

Sebab itu, Zahid lebih mempercayai Najib untuk menjaga UMNO ketika beliau menjalani rawatan di Jerman baru-baru ini, – berbanding Ismail Sabri dan Tok Mat Hasan. Bekas PM itu memainkan peranan besar dalam kemenangan UMNO/BN pada PRN Melaka 20 November lalu.

Populariti Ahli Parlimen Pekan itu yang dilihat bercita-cita menjadi PM kali kedua, meningkat susulan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Menggunakan ungkapan Arab ‘Wallahi, Wabillahi, Wataalahi’, Najib seolah-olah bersumpah dengan nama Allah bagi membersihkan dirinya daripada semua tuduhan – bukannya sekali beliau melakukan demikian, malah tiga kali.

Ini sekali gus menyebabkan akar umbi UMNO dan sesetengah kalangan rakyat mempercayai beliau kerana kononnya berani bersumpah atas nama Allah.

Dengan adanya Najib di samping Zahid bakal memberi masalah kepada Ismail Sabri untuk merebut kerusi Presiden dan mempertahankan jawatan PM. Percaturan politik Ismail Sabri di dalam UMNO sekarang ini lebih banyak bergantung kepada barisan Kabinet yang terdiri daripada ahli veteran parti itu, namun sesetengahnya tidak boleh dipercayai.

Mahu tidak mahu, salah satu rancangan untuk mematahkan ‘kekuatan dan kekuasaan’ Zahid-Najib ialah memastikan kedua-duanya ke penjara sebelum PRU15 diadakan.

Apakah Ismail Sabri perlu memikirkan rancangan itu bagi mempertahankan kedudukannya sekarang?

Atau, bagi sesetengah akar umbi yang sudah puluhan tahun menjadi penyokong tegar UMNO, satu ‘perjanjian’ mesti diadakan oleh Ismail Sabri dan Zahid bagi mewujudkan situasi ‘menang menang’ – Ismail Sabri kekal PM, hanya Zahid tidak ke penjara, pemilihan UMNO selepas PRU15?

Tiada ulasan: