PENGANJUR program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung sehingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) telah dikenakan kompaun bernilai RM1,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.
100 Hari AKM yang dianjurkan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri itu dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada prosedur operasi standard.
Kata beliau, ia juga dicemari kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP ditetapkan.
Menurut Khairy, penganjuran majlis rasmi kerajaan sepatutnya memberi contoh terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan serta orang ramai.
Beliau memaklumkan, ia bukan sahaja dari aspek pelaksanaan program tetapi juga aspek pematuhan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.
“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Khairy turut mengumumkan kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan sempena program tersebut akan ditutup serta-merta petang ini.
Khairy memaklumkan, maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan diberitahu PDRM.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP.
“Sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat.
“Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan