Jumaat, 10 Disember 2021

Buli baju merah: Semua murid, pemilik akaun media sosial dipanggil

TANGKAP layar video viral pelajar dibuli rakan-rakan.

KESEMUA individu yang terlibat dalam video yang didakwa kes buli murid berbaju merah di sebuah sekolah berasrama penuh akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada masa sama, pemilik akaun media sosial yang menularkan rakaman video terbabit juga dipanggil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah mengesan satu rakaman video yang tular berkaitan pergaduhan pelajar dikenal pasti berlaku di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

Hasil siasatan awal, kata beliau, polis mendapati kejadian tersebut telah berlaku antara pukul 1 hingga 2 pagi tadi melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa berumur 13 tahun.

“Polis juga mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kes berkenaan daripada pengetua sekolah tersebut pada pukul 1 tengah hari ini susulan tularnya video itu dan mendapat perhatian warganet.

“Polis mengambil tindakan memanggil kesemua pelajar yang terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta dibimbangi boleh mengganggu siasatan yang dilakukan.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak sesekali menularkan maklumat-maklumat tidak sahih kepada umum serta disarankan untuk melakukan sebarang laporan dan aduan di balai polis berhampir, menghubungi jabatan yang berkaitan atau mengikut undang-undang yang diwartakan,” jelas beliau.

Kecoh di media sosial hari ini apabila tular beberapa klip video yang mendakwa satu kejadian buli berlaku di sebuah asrama sekolah membabitkan beberapa orang murid menumbuk dan menendang seorang murid lain.

Video yang dimuat naik dan dikongsi sejak awal pagi tadi itu ternyata menimbulkan kemarahan warganet yang mahu satu tindakan diambil pihak sekolah dan polis untuk menyiasat segera perkara tersebut.

Menerusi video yang tular itu, kelihatan seorang murid baju merah dipegang rakan sebelum beberapa murid lain bergilir-gilir membelasah.

“Mantap gila,” kata salah seorang pelajar dalam video tersebut selepas menumbuk murid berkenaan.

Dalam rakaman itu terdapat lebih daripada tujuh pelajar di dalam sebuah bilik dan berdasarkan video yang tular, lebih daripada seorang turut merakam kejadian itu berdasarkan beberapa sudut rakaman yang tersebar.

Sementara itu, berdasarkan satu tangkap layar Twitter, seorang individu mendakwa kejadian dilaporkan berlaku di Maktab Rendah Sains Mara cawangan Sultan Azlan Shah.

Tiada ulasan: