Sabtu, 11 Disember 2021

Pemuda PAS pertikai kenapa UMNO berterusan memusuhi Bersatu

Sikap penolakan UMNO terhadap Bersatu sekarang menimbulkan tanda-tanya Ketua Pemuda PAS, walhal sebelum ini parti itu boleh pula sanggup menjadi sebahagian daripada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata terdapat persoalan berhubung tindak-tanduk UMNO yang melihat Bersatu sebagai musuh mereka kini walaupun pada awalnya sudah bersetuju untuk menjemput parti itu untuk menjadi sebahagian dalam Muafakat Nasional (MN).

“Jika ditinjau dari sudut kronologi, UMNO dan Pas kedua-duanya telah bersepakat untuk menjemput Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN).

“Timbalan Presiden UMNO berhujah, ‘salah satu sebab MN itu dibidani kelahirannya ialah untuk menentang PH (Pakatan Harapan).’ Bersatu adalah komponen PH waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fakta tersebut tidak dinafikan Ahmad Fadhli, bagaimanapun UMNO perlu sedar Bersatu juga sanggup meninggalkan PH untuk bersama menubuhkan kerajaan baharu dan mempersoalkan mengapa ketika itu UMNO sanggup menjadi sebahagian daripada kerajaan Muhyiddin.

“Ya benar, namun tidakkah kita lupa bahawa Bersatu inilah yang akhirnya meninggalkan PH dan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang sama-sama kita tubuhkan pada Februari 2020.

“Jika luka kerana Bersatu menjadi sebahagian daripada PH itu sangatlah besar untuk dilupakan, kenapakah UMNO sanggup menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin Muhyidin ketika itu?” soalnya lagi.

Wujud pertikaian berhubung penubuhan MN, PAS mendakwa jemputan dibuat terhadap Bersatu untuk menyertai MN tetapi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini pula menafikan matlamat penubuhan MN tidak menyebut Bersatu perlu menjadi sebahagian daripadanya.

Menurut Ahmad Fadhli lagi, PAS mementingkan permuafakatan ummah dan bukan semata-mata keuntungan politik.

“Secara logiknya, jika hanya Pas dan UMNO sahaja dalam MN, sudah tentu kek yang akan ‘dinikmati’ oleh Pas lebih besar berbanding dengan menerima satu lagi tetamu bernama Bersatu.

“Namun, itu bukan matlamat Pas. Matlamat Pas ialah untuk memperkuatkan muafakat ummah ini dengan memperluaskan lagi keanggotaan di dalam MN,” ujarnya lagi.

Beliau dalam masa yang sama turut menolak laporan yang memberi gambaran seolah-olah Pas menolak UMNO, sebaliknya parti Islam itu mahu rundingan diteruskan supaya UMNO dan Bersatu menyedari untuk menerima antara satu sama lain.

Dengan kerjasama itu, jelas Ahmad Fadhli, ia dapat mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kenyataan Presiden Pas yang dikeluarkan di dalam sidang media yang dirujuk oleh Timbalan Presiden UMNO itu langsung tidak bernada menolak MN seperti yang ditulis oleh media. Bahkan ia lebih kepada mengajak UMNO untuk kembali duduk semeja berbincang bagaimana untuk memperkasakan MN.

“Jika masing-masing membelek kronologi demi kronologi, sampai bilapun kita tidak akan bersepakat. Hakikatnya, UMNO perlu belajar menerima Bersatu dan tentu sekali, Bersatu juga perlu belajar untuk menerima UMNO. Jika tidak, muafakat ummah seperti yang diangkat oleh Tan Sri Presiden Pas itu tidak akan berjaya,” katanya.

Tiada ulasan: