Sabtu, 11 Disember 2021

Kes di lima negeri naik, 25 kluster masih aktif di Kuala Lumpur


Hanya lima negeri sahaja hari ini yang mencatat peningkatan kes harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, berbanding 10 negeri semalam.

Sebelas negeri lagi merekodkan penurunan dengan Labuan mencatat jangkitan terendah sebanyak lapan kes berbanding 21 semalam.

Setelah merekodkan peningkatan jangkitan tiga hari berturut-turut, jumlah kes di Selangor hari ini turun kepada 1,293 kes berbanding 1,467 kes semalam.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan, lima negeri yang mencatat peningkatan kes hari ini membabitkan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, dan Putrajaya.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 365 kes baharu hari ini, berbanding 315 kes semalam, menjadikan kumulatif sebanyak 205,992 kes positif, dengan 198,663 pesakit telah sembuh, dan 2,630 kematian.

Sehingga semalam, Kuala Lumpur merekodkan 4,334 kes aktif, termasuk 4,015 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah; tiada pesakit di PKRC; 291 dimasukkan ke hospital; dan 28 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 15 daripadanya memerlukan alat pernafasan.

Wilayah Persekutuan itu juga sehingga semalam mencatat 25 kluster aktif, dengan 14 daripadanya melibatkan jangkitan di tempat kerja; pendidikan (lapan); kumpulan berisiko tinggi (dua); dan satu penularan dalam komuniti.

Pulau Pinang pula merekodkan 279 kes baharu hari ini berbanding 275 semalam; diikuti Negeri Sembilan (265 kes baharu, 236 semalam); Terengganu (262 kes baharu, 202 semalam); dan Putrajaya (53 kes baharu, 32 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tujuh lagi kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,029 kluster dengan 5,779 telah ditamatkan dan 250 lagi masih aktif.

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi seramai 4,997 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,591,819 pesakit atau 96.6 peratus daripada 2,683,523 kumulatif positif.

“Daripada 5,058 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 80 kes atau 1.6 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,978 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Sehingga kini, katanya seramai 393 pesakit sedang dirawat di ICU, turun sedikit berbanding 419 semalam, dengan 212 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tiada ulasan: