Rabu, 8 Disember 2021

PDRM tawar diskaun saman sehingga 80 peratus mulai esok

SELEPAS Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hari ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengumumkan penawaran diskaun kompaun saman terpilih sehingga 80 peratus.

Tawaran tersebut dengan had minima sebanyak RM30 akan berlangsung selama empat hari mulai esok sempena program 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, semua pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter PDRM yang akan dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pada masa sama, kata beliau, kompaun juga boleh dibayar di kaunter bayaran saman trafik ibu pejabat polis daerah dan kontinjen serta portal dan aplikasi MyBayar Saman sepanjang tempoh empat hari tersebut.

Menurut Mat Kasim, pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan dan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

“Selain itu, diskaun itu juga tidak terpakai bagi kesalahan memotong di garisan berkembar; kesalahan yang dikategorikan tidak boleh kompaun (NC); kesalahan yang berstatus perbicaraan; kesalahan berkaitan kenderaan berat dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.

“Orang ramai mahu pun syarikat dan entiti perniagaan boleh mendaftar melalui portal rasmi PDRM atau pautan https://mybayarsaman@rmp.gov.my.

“Orang ramai juga boleh muat turun aplikasi di platform Google Playstore, Apple Appstore dan Huawei AppGallery serta boleh membuat pembayaran melalui aplikasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mat Kasim turut menyeru orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di kaunter bayaran fizikal dalam usaha mengawal penularan COVID-19.

“PDRM juga menggalakkan pembayaran kompaun secara dalam talian serta membantu orang ramai yang terkesan dalam situasi sukar pandemik COVID-19,” jelas beliau.

Semalam, JPJ turut memberi diskaun pembayaran saman kompaun sehingga 80 peratus kepada semua notis saman untuk tempoh empat hari sempena program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia.

Diskaun tersebut bagaimanapun tidak terpakai bagi kes-kes yang masih dalam sebutan mahkamah termasuk berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

JPJ juga akan menyediakan kemudahan unit bergerak dan kiosk untuk tujuan memudahkan orang ramai melaksanakan urusan transaksi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sepanjang program tersebut berlangsung.

Tiada ulasan: