JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand dan China masih sah tempoh pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Tempoh pengiktirafan itu sah sehingga 31 Disember 2023 menurut The Central Islamic Council of Thailand dan Shandong Halal Certification Services yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal.
Menurut DVS, terdapat sembilan loji ayam yang diluluskan untuk mengeksport daging dan keratan ayam di Thailand.
Pada masa sama, DVS memaklumkan, dua lagi diluluskan di China.
“DVS mengesahkan kesemua loji ayam yang disenaraikan di laman sesawang DVS adalah masih sah untuk mengeksport ke Malaysia.
“Senarai loji-loji di laman sesawang DVS dikemaskini dari semasa ke semasa dan loji-loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.
“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang DVS untuk makluman pihak-pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, DVS turut memandang serius video seorang penceramah bebas yang tular dalam media sosial mendakwa loji-loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal.
“Orang awam diingatkan supaya merujuk kepada Pihak Berkuasa Veterinar, DVS untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan perkara-perkara yang berkaitan sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan