Isnin, 13 Disember 2021

PDRM peroleh Notis Merah Interpol untuk Jho Low, Nicky Liow

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memperoleh Notis Merah terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Nicky Liow Soon Hee daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Notis Merah terhadap Jho Low diperoleh pada 11 Jun 2018, manakala notis terhadap individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti Macau Scam, Nicky Liow diperoleh pada 20 April lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata terdapat dua kategori Notis Merah Interpol iaitu yang boleh dikongsi bagi paparan dan maklumat awam dan satu lagi dihadkan untuk diakses oleh agensi penguat kuasa.

Beliau berkata Notis Merah dikeluarkan terhadap Jho Low dan Nicky Liow adalah untuk tatapan agensi penguatkuasaan sahaja.

"Ibu pejabat Interpol adalah pihak yang akan menentukan sama ada Notis Merah yang dikeluarkan bagi paparan umum atau tatapan agensi penguatkuasaan sahaja.

"Ia tertakluk kepada tahap keseriusan dan ancaman kepada awam," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, PDRM kekal komited dalam usaha memastikan kedua-dua penama berkenaan dapat ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.

Tiada ulasan: