Isnin, 13 Disember 2021

Jabatan Penjara perjelas isu banduan cuci kereta

BH ONLINR
Individu yang cuci kereta kakitangan penjara terbabit program Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP) dengan pemantauan selain turut menerima gaji hasil daripada pekerjaan mereka lakukan.
Individu yang cuci kereta kakitangan penjara terbabit program Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP) dengan pemantauan selain turut menerima gaji hasil daripada pekerjaan mereka lakukan.

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara hari ini menjelaskan penghuni penjara yang mencuci kereta dan gambarnya tular di laman sosial adalah individu yang terbabit dalam program pemulihan luar penjara dikenali sebagai Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP).

Jabatan Penjara dalam kenyataan memberitahu setiap banduan terbabit, telah menjalani saringan ujian fizikal dan mental tertentu untuk menjalani BKLP, dengan pemantauan anggota penjara selain turut menerima gaji hasil daripada pekerjaan mereka lakukan.

"Kebanyakan institusi penjara menawarkan perkhidmatan mencuci kenderaan dan ia turut dibuka kepada orang awam dengan kadar harga bayaran berpatutan dan perkhidmatan berkualiti.

"Orang ramai yang berhasrat menggunakan perkhidmatan ditawarkan itu, dialu-alukan untuk berhubung dengan penjara berdekatan sebagai tanda sokongan masyarakat setempat terhadap program pemulihan Jabatan Penjara, dalam menyediakan peluang pekerjaan dan kerjaya kepada penghuni apabila dibebaskan," kata kenyataan itu.

Semalam, tular di media sosial satu tangkap layar mendakwa seorang pegawai Jabatan Penjara menyuruh seorang banduan mencuci kereta miliknya.

Tangkap layar berkenaan mengundang pelbagai kecaman, yang menganggap pegawai berkenaan menggunakan banduan itu untuk kepentingan peribadinya. – BERNAMA

Tiada ulasan: