Sabtu, 11 Disember 2021

PDRM kutip RM13.67 juta saman tawaran diskaun 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

Bayaran saman trafik yang menawarkan diskaun 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia boleh dilakukan secara online atau ke kaunter trafik IPD di seluruh negara./ Gambar FB KDN

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengutip kompaun sebanyak RM13.67 juta daripada 287,500 saman yang diselesaikan orang ramai pada semalam menerusi tawaran diskaun saman trafik sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

MAZLAN LAZIM./ Fb PDRM

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kaunter diskaun yang dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merekodkan kutipan RM431,330 daripada 8,943 saman dan portal MyBayar mencatatkan RM3.4 juta daripada 74,312 saman dijelaskan orang ramai.

“Kami terpaksa menutup kaunter PDRM di KLCC pada 4.30 petang tadi berikutan soal prosedur operasi standard (SOP) setelah terlalu ramai berpusu-pusu ke sini.

“Namun orang ramai jangan risau kerana mereka boleh terus membayar saman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen yang mempunyai kaunter trafik serta melalui portal MyBayar yang dibuka 24 jam.

“Jangan pula pergi ke balai polis yang tiada kaunter trafik, nanti akan diarah ke IPD,” katanya.

Mazlan berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kaunter PDRM yang dibuka sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC hari ini.

Ditanya keluhan orang ramai kesukaran melayari laman web MyBayar, Mazlan mengakuinya namun ia dilaporkan melibatkan waktu puncak.

Katanya, laman web itu boleh diakses 24 jam sehari dan orang ramai boleh mencuba pada waktu bukan puncak.

“Nak kata tak boleh masuk ke portal tersebut, kita rekodkan kutipan RM3.4 juta menerusi portal MyBayar. Yang penting sabar.

“Atau mereka boleh ke IPD yang berdekatan untuk menjelaskan saman dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus seperti dihebahkan,” jelasnya.

Ditanya sama ada PDRM akan melanjutkan tawaran diskaun, Mazlan berkata:

“Buat masa ini belum diputuskan (lanjutan diskaun). Setakat ini sehingga hari Ahad,” katanya.

PDRM menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 80 peratus bermula 9 hingga 12 Disember ini dengan tawaran pengurangan saman itu tidak melibatkan kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan-kesalahan utama dilakukan, kesalahan kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos.

Tiada ulasan: