KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan sedia untuk menggerakkan 23,090 pegawai dan anggotanya di seluruh negara dalam membantu menangani bencana banjir.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata jumlah pegawai dan anggota yang akan dikerahkan adalah sebagai bantuan tambahan kepada kekuatan sedia ada di kontinjen negeri.
"Untuk Selangor, seramai 3,454 pegawai dan anggota daripada keseluruhan 23,090 digerakkan dalam menangani situasi semasa keadaan banjir dan bencana di beberapa lokasi di negeri berkenaan.
"Selain itu, PDRM turut menyediakan 369 unit bot dan enjin, 36 unit jet ski, 437 buah lori dan 1,409 unit kenderaan pacuan empat roda," katanya kepada BH hari ini.
Acryl Sani berkata, keutamaan paling penting pada masa ini adalah keselamatan mangsa banjir sama ada bagi tujuan pemindahan ke kawasan selamat, mengawasi keselamatan dan ketenteraman awam di samping mengekang penularan wabak COVID-19.
"Bagi kami apa yang paling penting adalah keselamatan masyarakat yang terkesan akibat banjir, itu yang harus diutamakan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan