Khamis, 23 Disember 2021

Mangsa banjir diberi moratorium, tangguh bayar pinjaman

MALAYSIA POST

Mangsa banjir diberi moratorium, tangguh bayar pinjaman

KERAJAAN mengumumkan kemudahan penangguhan atau pengurangan bayaran balik pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi untuk
mangsa banjir di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata penangguhan sehingga enam bulan itu adalah inisiatif diambil kerajaan dan sektor perbankan untuk meringankan beban golongan berkenaan terutama usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Beliau menjelaskan, moratorium enam bulan pertama turut ditawar ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa banjir di seluruh negara.

“Selain itu, pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 (ditawarkan) oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan untuk meringankan beban mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

“TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan.

“Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Bank Negara Malaysia juga sedang berusaha menambah peruntukan ke atas kemudahan bantuan bencana 2022 kepada RM500 juta berbanding RM200 juta diumum sebelum ini.

Katanya, semua inisiatif itu adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang telah diumumkannya sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terjejas akibat banjir. -Malaysiapost

Tiada ulasan: