Rabu, 22 Disember 2021

Makhluk asing mungkin mendiami awan planet Zuhrah – Saintis

Oleh KOSMO!

LONDON – Sekumpulan saintis percaya bahawa penghasilan gas ammonia di awan Planet Zuhrah berkemungkinan memberi petunjuk bahawa terdapat ‘kehidupan’ luar biasa yang mendiami planet itu, lapor akhbar Daily Star semalam.

Gas tidak berwarna yang terdiri daripada sebatian nitrogen dan hidrogen itu mungkin merupakan petanda reaksi kimia yang membuatkan planet tersebut lebih mudah dihuni oleh makhluk asing.

Zuhrah merupakan sebuah planet sangat panas sehingga dilaporkan amat tidak mungkin untuk menampung sebarang bentuk hidupan.

Bahkan, jika ada kehidupan di awan sekali pun, ia berkemungkinan merupakan sejenis mikroba kecil seperti bakteria Bumi.  

Dalam kajian baharu, penyelidik dari Universiti Cardiff, Institut Teknologi Massachusetts dan Universiti Cambridge menghasilkan model satu set proses kimia.

Tujuannya adalah untuk melihat sekiranya kewujudan ammonia akan mencetuskan satu siri tindak balas kimia yang akan meneutralkan titisan asid sulfurik di sekelilingnya.

Sekiranya perkara itu berlaku, ia akan meningkatkan tahap keasidan awan, sekali gus menjadikannya mempunyai tahap yang boleh diterima oleh kehidupan. – AGENSI

Tiada ulasan: