Khamis, 16 Disember 2021

Lagi kes Omicron dikesan, penerima Sinovac kena ambil dos penggalak untuk kekal status vaksinasi lengkap – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Dr Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Abd Razak Aid

GELOMBANG kes COVID-19 varian Omicron memang tidak dapat dielakkan dengan petugas barisan hadapan telah diingatkan untuk bersiap sedia berhadapan sebarang kemungkinan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam nada berterus terang berkata, varian Omicron yang semakin banyak dikesan di Eropah Barat dan selatan Afrika hanya menunggu masa untuk menular di negara lain termasuk Malaysia.

Katanya, terbaru, Malaysia melaporkan kes kedua varian Omicron yang dikesan melibatkan seorang kanak-kanak yang memasuki negara ini dari Lagos, Nigeria.

Selain itu, jelas Khairy, terdapat 18 lagi kes disyaki varian Omicron dari pelbagai negara yang sedang dalam analisis Kementerian Kesihatan (KKM) dan keputusan muktamad mengenainya akan diumumkan esok.

“Justeru saya telah bercakap dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang petugas kesihatan walaupun sudah keletihan, namun mereka perlu bersedia kembali ke medan peperangan.

“Malaysia sudah diminta bersiap sedia berdepan dengan kes varian Omicron, bila-bila masa sahaja. Sebenarnya dah sampai pun (dua kes import),” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Menurutnya, gelombang kes varian Omicron sedang datang dan sebab itu KKM perlukan pindaan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang antara lain menaikkan hukuman denda pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Sambil memberian contoh Kluster Teratai yang melibatkan sebuah kilang besar, Khairy berkata, saman yang boleh dikeluarkan kepada pemiliknya yang untung berbilion ringgit hanyalah RM1,000 sahaja.

Sedangkan katanya, suasana kerja di kilang itu sangat menyedihkan dengan kesalahan sama berulang dikesan.

“Kita perlukan pindaan ini. Ini perlu agar tindakan bersesuaian dapat diambil ke atas syarikat seperti yang sebut dalam kluster Teratai yang melakukan kesalahan berulang.

“Tujuan pindaan ini bukan untuk individu seperti tak pakai pelitup muka yang mana garis panduan kompaun sudah ada sebelum ini. Cumanya tak kan garis panduan pun nak masuk dalam akta,” jelasnya.

Ditanya pindaan yang akan dibentang petang ini akan mendapat sokongan Ahli Parlimen atau tidak, Khairy berkata:

“Bismillahitawakkaltuallah.”

Pada sidang media sama, Khairy mengumumkan beberapa langkah bagi membendung penularan baharu kes COVID-19 termasuk Omicron.

Antaranya kata beliau, kerajaan tidak membenarkan penganjuran sambutan tahun baru dan Krismas secara besar-besaran sebaliknya terhad kepada skala kecil dalam majlis persendirian.

Bagaimanapun kata beliau, ujian pengesanan kendiri perlu diwajikan kepada tetamu.

Ujar beliau, pengembara yang pulang dari UK juga perlu menjalani ujian saringan kendiri sepanjang dalam tujuh hari dalam tempoh kuarantin dan lebih banyak negara akan dimasukkan dalam senarai berisiko tinggi.

“Kita juga akan membuka kembali PPV Mega bagi mempercepatkan pemberian dos penggalak,” ujarnya sambil mengingatkan Omicron mempunyai kadar kebalehjangkitan empat kali ganda berbanding Delta seperti mana kajian saintis Universiti Kyoto.

Menurut Khairy, KKM juga menetapkan semua penduduk berusia 60 tahun tanpa mengira jenis vaksin yang diambil perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Katanya, bagi penerima vaksin Sinovac, semua yang berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak pada Februari bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap dalam MySejahtera.

“Selepas Februari 2022, status vaksinasi menjadi tidak lengkap jika individu dalam dua kumpulan ini tidak mendapatkan dos penggalak,” ujarnya.

Dalam kenyataan media kemudiannya, beliau menambah, mereka yang berkenaan tidak layak mendapat kemudahan kepada penerima vaksinasi lengkap.

Ujar beliau, individu dalam dua kumpulan ini memang disyorkan untuk menerima dos penggalak leh kumpulan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ia disahkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF).

Tiada ulasan: