Khamis, 16 Disember 2021

Diesel dibuang ke sungai, 463 kawasan di Selangor tak ada air

Gangguan bekalan air tidak berjadual sudah menjadi rutin tahunan buat penduduk Lembah Klang akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

SELANG tiga bulan, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas lagi pagi ini akibat pencemaran bau.

Jika sebelum ini akibat sisa pembuangan daripada sebuah kilang, kali ini LRA itu ditutup setelah pencemaran bau diesel dikesan di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran.

“Susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Wilayah itu ialah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Elina, pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terbabit menerusi aplikasi Air Selangor dan media sosial Air Selangor.

Katanya, Air Selangor juga sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan bagi menyediakan bantuan bekalan air kepada pengguna yang terbabit.

“Sebanyak 81 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dan premis kritikal.

“Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama ketika peningkatan kes COVID-19,” jelasnya.

Tiada ulasan: