Rabu, 15 Disember 2021

‘Komando, bekas tentera jadi warden sekolah? Jangan, mereka bukan pengasuh anak kita’

Oleh Media Mulia
Anggota Tentera Darat melaksanakan rondaan dalam Op Benteng.

PETALING JAYA: ‘Pelajar membuli dan tiada disiplin, suruh bekas polis atau askar jadi warden, selesai, noktah, betulkah selesai?’

Demikian tulis seorang netizen dalam laman Facebook mengenai cadangan supaya bekas polis dan tentera diberikan tugas menjadi warden di sekolah asrama.

Netizen tersebut membuat perbandingan berikut: “Dulu ada anak nakal, penyelesaiannya masuk ke tahfiz, penyudahnya ada kes buli dan amang seksual di tahfiz, jadi salah siapa? Takkan nak salahkan agama pula?”

Untuk itu tegasnya, sebagai orang yang berusia, beliau tidak bersetuju dengan cadangan bekas polis dan tentera jadi warden.

“Saya tak kiralah kalau luar negara ada buat benda ini atau tidak. Tapi sebagai seorang guru, bapa dan orang awam saya tak setuju,” tegasnya.

Beliau berkata, pertama, kejadian buli ini bukan sebab disiplin semata-mata, tapi sebab didikan awal dari rumah.

Menurutnya, kalau ada ibu bapa yang anaknya nakal dan bergaduh dengan anak jiran, kita sebagai ibu bapa memberi respons: “Alaaa…biasalah budak-budak…kena tumbuk sikit je.. Itu pun nak bising. Itulah punca sebenarnya”.

“Kalau kita beranggapan anak kita akan masuk sekolah nanti semua benda akan diasuh oleh cikgu-cikgu termasuk membina sahsiah, jadi kita ibu bapa lepas tangan. Itulah puncanya.

“Tahukah kalian bahawa seorang tentera atau polis nak memasuki fasa persaraan mereka akan mengikuti program transisi untuk menyesuaikan dan adaptasi bersama orang awam. Bukan macam pencen kakitangan awam yang lain. Pihak Kementah (Kementerian Pertahanan) akan memastikan pegawai tenteranya stabil dari segi emosi baru boleh keluar menjadi orang awam.

“Sebab itu ramai anggota tentera yang bersara memilih bidang yang ada kaitan dengan keselamatan dan ketenteraan juga selepas bersara. Ramai yang menjadi pegawal keselamatan di agensi keselamatan serta menjadi pegawai keselamatan di unit kawalan di universiti awam atau menjadi pegawai pasukan simpanan di IPTA seperti ROTU dan Kesatria.

“Mereka mahir dalam bidang taktikal dan keselamatan. Bayangkan kalau orang yang hebat ini disuruh jadi warden sekolah. Mereka akan melaksanakan kawalan military secara maksimum. Silap-silap asrama sekolah akan jadi penjara bagi pelajar. Adakah ini yang kita mahukan?” Soalnya.

Untuk itu beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan menyemak kembali perjawatan warden di sekolah.

Kalau boleh jelasnya, wujudkan jawatan itu sebagai jawatan hakiki yang berasingan daripada guru, maksudnya warden adalah warden, bukan guru yang jadi warden.

“Andai kata guru juga terpaksa jadi warden, pastikan ada insentif yang diberikan. Jadual mengajar kena minimum. Ini tidak, siang mengajar, malam jadi warden,” katanya.

Tiada ulasan: