Usaha bagi bantu peladang, pekebun kecil hadapi kenaikan harga
SERIAN – Kerajaan akan mewujudkan dasar bagi mengawal harga baja dan racun untuk membantu peladang dan pekebun kecil, menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin.
Beliau berkata dasar tersebut sudah di peringkat perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
“Dasar ini akan membantu para pengusaha dan pekebun-pekebun kecil mendapat harga input yang lebih rendah supaya mereka dapat menikmati hasil pulangan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Kampung Pichin, di sini hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata, sektor perladangan terutamanya sawit turut berdepan dengan masalah kekurangan tenaga buruh yang agak kritikal susulan pandemik COVID-19.
Menurutnya kerajaan menghadapi pelbagai kekangan untuk membawa masuk buruh asing berikutan masalah permit kerja, selain permintaan gaji minimum yang tinggi sehingga RM1,500.
“Namun, bagi mengatasi masalah ini, pekerja asing yang bekerja di sini dan bukan dalam bidang penting, akan dibawa masuk bekerja dalam sektor perladangan, tetapi perlu menukar permit kerja dan majikan,” katanya.
Setakat ini, beliau berkata permohonan untuk lebih 30,000 tenaga kerja asing untuk bekerja dalam sektor perladangan negara sudah diluluskan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan