Sabtu, 11 Disember 2021

Isu kartel dalam Jabatan Imigresen perlu siasatan telus

 zuhayati

Boleh tertumpu kepada individu disyaki sebelum diperluas

BANGISiasatan yang lebih telus perlu dijalankan berhubung dakwaan kewujudan kartel di dalam Jabatan Imigresen.

Siasatan berkenaan penting agar imej jabatan dapat dibersihkan daripada sebarang dakwaan buruk.

Atas dasar itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mengalu-alukan siasatan dilaksanakan sama ada secara dalaman oleh imigresen atau dilakukan oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Siasatan itu boleh tertumpu pada segelintir pihak yang disyaki terlibat.

“Sebelum diperluaskan kepada pelbagai pihak seperti vendor dan agensi swasta lain yang terlibat sama dalam perkhidmatan Jabatan Imigresen kerana ia tidak mustahil berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishamuddin menjelaskan, selaras dengan sambutan Hari Imigresen Malaysia pada 1 Disember lalu dengan tema ‘Ke Arah Perkhidmatan Imigresen Bertaraf Dunia’, dakwaan ini tidaklah seperti yang digambarkan kerana MHO melihat banyak kejayaan telah dicapai oleh jabatan berkenaan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami berpandangan masyarakat perlu menyokong dan menghargai usaha baik dan khidmat cemerlang jabatan itu yang menuju ke taraf dunia.

“Usaha dengan memberi kesedaran dan pendidikan di samping budaya integriti perlu sentiasa diterapkan dalam semua aspek operasi urus niaga jabatan,” katanya.

Malah, beliau berkata, salah satu yang ketara dengan aplikasi e-government dalam penyampaian perkhidmatan di imigresen, menunjukkan iltizam pengurusan tertinggi jabatan dengan meminimumkan ruang dan peluang kadar rasuah dalam sesuatu proses amatlah dipuji.

Tiada ulasan: