Khamis, 23 Disember 2021

Banjir: Polis terima 7 laporan pecah premis

SHAH ALAM: Polis menerima tujuh laporan berhubung kes kejadian pecah premis ketika kejadian banjir di Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata berdasarkan laporan, empat kes berlaku di Shah Alam, manakala dua lagi di Klang Utara dan satu di Klang Selatan.

Beliau berkata, ia membabitkan pecah masuk kilang atau kedai yang menjual makanan dan keperluan harian.

"Susulan kejadian itu, polis membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan dan tindakan setimpal akan dikenakan kepada pesalah.

"Ada segelintir (individu) yang mengambil kesempatan. Ada kata mereka terdesak kerana bekalan makanan terputus. Ada kata mereka ambil itu bukan keperluan, bahkan untuk diagihkan kepada orang ramai.

"Semua tempat sediakan bekalan mencukupi, di mana semua boleh datang ambil (bekalan) mengikut keperluan tanpa mengira warganegara atau bukan warganegara. Ini adalah bantuan kemanusiaan disediakan kerajaan dan semua orang dialu-alukan.

"Bagi memastikan kejadian sama tidak berulang polis meletakkan 30 pasukan cantas Jabatan Siasatan Jenayah membabitkan 120 pegawai dan anggota," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda di sini, hari ini.

Mengenai isu lori tunda yang didakwa 'melarikan' kereta mangsa banjir, beliau berkata, polis sudah menahan seorang lelaki yang juga pemandu kenderaan itu bagi membantu siasatan.

Mengulas dakwaan mayat yang ditemui bukan disebabkan lemas akibat banjir, beliau berkata, pihaknya akan merujuk laporan bedah siasat untuk mengetahui punca meninggal dunia.

"Setakat ini saya tidak menerima keputusan bedah siasat dan apabila terima nanti perlu diberikan penerangan kepada orang ramai," katanya.

Tiada ulasan: