Pentadbiran sekolah perlu sentiasa pastikan kes buli tidak bertukar kepada jenayah berat
SESIAPA yang pernah bersekolah di mana-mana sekolah berasrama, amat faham tentang budaya buli. Bukan budaya baru tapi memang telah lama wujud sejak sekian lama, bahkan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. SBP, MRSM, teknik, vokasional, SMKA, SMA, SAM bahkan sekolah harian…. tidak jauh beza antara satu dengan yang lain.
2. Di sekolah ada samseng dari kalangan pelajar senior. Dia akan membuli pelajar junior dengan caranya. Di sekolah juga ada pengawas dari kalangan senior. Dia juga akan membuli pelajar junior dengan caranya yang tersendiri. Bahkan adakalanya AJK badan dakwah yang senior juga membuli pelajar junior, cuma ia dilakukan dengan caranya sendiri.
3. Buli boleh berlaku secara spontan dan kemudiannya boleh terlajak menjadi jenayah yang berat.
Kadang-kadang pelajar senior potong barisan semasa mengambil makanan di dewan makan. Pelajar junior terpaksa menunggu lama. Ini satu bentuk buli.
Kadang-kadang pengawas senior denda pelajar junior cuci tandas atas sikit kesalahan yang tidak dibawa untuk diadili di mana-mana peringkat. Ini juga satu bentuk buli.
Kadang-kadang AJK badan dakwah berkumpul dan bagi tazkirah secara berjemaah kepada pelajar nakal di dalam bilik ‘PA system’ surau di tengah malam dengan lampu tertutup. Ini pun buli juga sebenarnya.
4. Pelajar sekolah menengah adalah remaja yang keliru identiti. Mereka baru baligh dan terperangkap antara alam kanak-kanak dan alam dewasa. Otaknya otak kanak-kanak tapi tubuhnya badan orang dewasa. Emosi tidak stabil. Kematangan belum sempurna. Mereka mahu perhatian rakan-rakan sekeliling. Mereka mahu mencuba semua benda yang akan menjadikan mereka dilihat dewasa. Pelajar sekolah harian dan pelajar sekolah berprestasi tinggi yang cerdik, sama sahaja dari sudut ini.
5. Dengan perkembangan remaja di usianya yang sedemikian, kita kumpulkan pula mereka sampai ratusan orang di satu kawasan yang sempit, kemudian kita campurkan antara yang menengah rendah dan menengah atas, kemudian kita tak mahu melabur banyak dalam menggaji warden khas dan masih membebankan tugasan menjaga pelajar kepada guru-guru yang sudah kepenatan mengajar sepanjang hari … adakah kita menjangkakan kes buli dalam apa juga bentuk buli akan berakhir?
6. Tanpa merujuk secara khusus kepada mana-mana insiden yang berlaku, saya meletakkan tanggungjawab memastikan asrama sekolah menengah selamat dari buli yang berakhir dengan jenayah ini ke atas bahu pentadbiran sekolah. Banyak aspek yang boleh diperhatikan dan ditambah baik.
Pelajar senior akan terus membuli pelajar junior dalam apa juga bentuk buli. Saya tak rasa ada asrama yang suasananya seperti khayalan sebahagian ibu bapa … sopan santun, berkasih sayang, tolong menolong, senior mengasihi junior … saya tak rasa begitu.
Tetapi apa yang penting adalah pentadbiran sekolah perlu sentiasa memastikan kes-kes buli tidak bertukar kepada jenayah yang berat. Dan saya rasa kebanyakan pentadbiran sekolah berjaya di dalam mengawal pelajar dari melakukan jenayah berat.
7. Dan satu lagi aspek yang penting yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa adalah jika hantar anak ke asrama pastikan anak-anak memang boleh belajar berdikari. Berdikari bukan bermaksud boleh basuh baju sendiri sahaja, tetapi juga boleh pertahankan diri sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan