Sabtu, 18 Disember 2021

10 maut: Tragedi selepas pulang kenduri

 Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

Suasana pilu di pekarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam sebentar tadi.

SHAH ALAM – Sembilan beranak yang maut dalam kemalangan di kawasan Rehat dan Rawat USJ, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam di sini malam tadi baru selesai menghadiri kenduri keluarga di Melaka.

Tragedi menyayat hati itu berlaku ketika seorang ibu bersama lapan anaknya termasuk seorang bayi lelaki berusia 10 bulan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Padang Jawa, dekat sini.

Lebih memilukan, ketika kejadian kereta jenis Proton Wira dinaiki keluarga itu berhenti di tepi jalan kerana mengalami kerosakan sebelum dipercayai dilanggar sebuah treler.

Nurul Atika menunjukkan pesanan mesej terakhir arwah
kakaknya sebelum tragedi itu.

Mangsa yang terkorban adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan empat anaknya iaitu Razarul Amin Abd. Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.

Empat lagi anak suri rumah itu yang turut maut ialah Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

Adik Norul Naziah, Nurul Atika, 33, berkata, kesemua mangsa termasuk abang iparnya, Abd. Razak Majid, 50, berhenti di lokasi kejadian kerana kereta rosak selepas pulang daripada kenduri di Melaka pada pukul 10.09 malam.

“Saya ada menghubungi kakak dan dia memaklumkan mengenai perkara itu. Saya difahamkan ketika kejadian kakak dan lapan anaknya menunggu dalam kereta,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Shah Alam, di sini hari ini.

Tiada ulasan: