Rabu, 11 Ogos 2021

PRU boleh diadakan dalam norma baharu jika politik tak stabil


Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sekiranya situasi politik tidak stabil berterusan melanda negara ia berkemungkinan pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam keadaan norma baharu, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata ketakstabilan politik ketika ini dicetuskan kumpulan dalam UMNO yang menyebelahi Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa berkomplot dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beberapa Ahli Parlimen (MP) mereka menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Situasi politik sehari dua ini nampak tidak stabil khususnya setelah Umno meminta ahli parlimennya menarik diri daripada kerajaan PN,” katanya lapor portal Harakah.

Tuan Ibrahim merujuk kepada 14 MP UMNO diketuai Zahid yang bertindak menghantar surat akuan baru-baru ini kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi satu lagi kumpulan bersama Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula kekal setia dalam kerajaan PN.

Ujarnya, persediaan untuk menghadapi PRU dalam norma baharu perlu dilakukan dan diterima para pendukung PAS, apabila tiada lagi aktiviti kempen sekiranya pandemik Covid-19 masih lagi menular.

“Jadi kita kena bersiap sedia dengan suasana baru. Memanglah pada peringkat awal susah laksanakan norma baru ni, namun lama-lama insya-Allah akan OK.

“Pelaksanaan norma baru dirasai dalam kehidupan harian sekarang, malah turut melibatkan ceramah, mesyuarat serta perjalanan PRU15,” katanya lagi.

Jelasnya, poster kempen juga mungkin tidak akan kelihatan lagi sekiranya PRU diadakan kali ini.

Tindakan pemimpin politik daripada kumpulan Presiden interim UMNO, Zahid dan blok pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta parti kecil lain yang cuba menumbangkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini.

Setelah beberapa kali gagal untuk menumbangkan kerajaan PN, kumpulan Zahid dan Anwar dilaporkan mengutus surat terbaharu kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan rancangan Muhyiddin untuk mengemukakan usul percaya terhadap kepimpinan beliau bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri yang memiliki majoriti Parlimen.

Usul itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula 6 September ini.

Tiada ulasan: