Selepas bertegas tindakan disiplin akan dikenakan kepada Ahli Parlimen (MP) UMNO yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk dipecat, Datuk Seri Ahmad Maslan membuat ‘u-turn’ apabila menjelaskan tiada tindakan bakal diambil terhadap mereka.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata MP UMNO yang menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan dikenakan tindakan dan menafikan parti mengeluarkan surat “ugutan” kepada kumpulan MP tersebut yang bersama dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ada kata surat itu ugutan. Itu bukan ugutan, ia ingatan mengenai tata etika ahli untuk ikut keputusan parti.
“Umno tidak berhasrat memecat. Kita berhasrat untuk mengingatkan (mereka) kepada Perlembagaan parti. Itu hasrat surat saya yang sudah diberikan kepada mereka, kawan-kawan saya juga,” katanya dipetik berkata program Umno Online semalam.
Penjelasan tersebut berbeza dengan laporan Agenda Daily sebelum ini mendakwa surat diutus kepada semua MP UMNO meminta untuk menyatakan pendirian mereka sama ada terus menyokong PN atau sebaliknya.
Surat tersebut tersebut yang dilihat Agenda Daily menegaskan MP UMNO perlu mengikut ketetapan parti jika tidak mahu tindakan disiplin diambil.
Bagaimanapun, beberapa MP UMNO enggan membalas surat tersebut dan menegaskan ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada hendak menyokong atau pun tidak.
14 MP UMNO diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang merancang bersama blok pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta parti kecil lain yang cuba menumbangkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin ketika ini.
Setelah beberapa kali gagal untuk menumbangkan kerajaan PN, kumpulan Zahid dan Anwar dilaporkan mengutus surat terbaharu kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti.
Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan rancangan Muhyiddin untuk mengemukakan usul percaya terhadap kepimpinan beliau bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri yang memiliki majoriti Parlimen.
Usul itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula 6 September ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan