Selasa, 24 Ogos 2021

Dr M tak setuju undi percaya terhadap PM

Pada 18 Ogos lalu Yang di-Pertuan Agong bertitah perdana menteri baharu 
dilantik perlu melaksanakan undi percaya untuk membuktikan keabsahan 
di Parlimen.

PETALING JAYA: Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen tidak lagi perlu dilakukan kerana berisiko pergolakan politik dalam negara berulang, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak fikir perkara itu (elok dilakukan) kerana kita tak nak tukar sekali lagi perdana menteri.

“Kalau ke Parlimen, dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (perdana menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya di Langkawi memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah supaya undi percaya terhadap perdana menteri dibuat segera di Parlimen.

Sementara itu, ketika mengulas slogan “Keluarga Malaysia” diperkenalkan Ismail, beliau berkata ia perlu disusuli cara bekerja oleh pemimpin dan rakyat.

“Kalau tukar slogan, tapi buat kerja macam itu juga tak guna… mengarut sahaja dan kita khuatir dia (Ismail) boleh bawa cara baharu atau tidak.

“Kalau kita lihat dari segi penyokong kerajaan adalah orang sama… tiada beza langsung, cuma yang tukar perdana menteri,” katanya.

Ismail dilantik sebagai perdana menteri kesembilan Sabtu lalu, menggantikan Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat.

Pada 18 Ogos lalu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah agar perdana menteri baharu dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Semalam, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menggesa undi percaya terhadap perdana menteri diadakan segera bagi menguji jumlah sebenar sokongan dimiliki Ahli Parlimen Bera itu.

Katanya, walaupun surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia sudah dilakukan dan diperkenan Agong pada Sabtu lalu, ia hanya untuk satu ketika.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, undi percaya perlu diadakan untuk memastikan keabsahan sekali gus membolehkan perdana menteri menerajui negara tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak.

Tiada ulasan: