Selasa, 24 Ogos 2021

Kes hasutan ‘dengki ke’ digugur, Fahmi Reza anggap ‘kemenangan’

Fahmi Reza tidak asing lagi dengan kontroversi dan pernah ditahan kerana 
karikatur satira membabitkan Najib Razak selain menjual baju ‘menghasut’.

PETALING JAYA: Kes hasutan Fahmi Reza berhubung satiran memaparkan potret Raja Permaisuri Agong dalam “playlist” Spotify yang dianggap menyinggung raja, digugurkan.

Pereka grafik satira itu dimaklumkan polis hari ini yang kesnya tidak lagi diteruskan dan tidak akan dibawa ke mahkamah.

Beliau menerusi Twitter berkata, pendakwa raya memutuskan “tiada tindakan lanjut” dan beliau menyifatkannya sebagai “kemenangan”.

Fahmi menghasilkan beberapa “playlist” di Spotify bertajuk “This is dengki ke?” yang memaparkan gambar Raja Permaisuri Agong, tetapi ia kemudiannya dipadamkan Spotify, menyebabkan Fahmi beralih kepada Apple Music.

“Playlist” itu seolah-olah mengejek Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berhubung komen di akaun Instagram peribadinya.

Satu daripada catatan itu adalah memasak makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti bubur lambuk, roti John dan cucur jagung di dapur Istana Negara.

Seorang daripada pengikutnya bertanya sama ada tukang masak istana turut divaksin, Tunku Azizah menjawab “Dengki ke?”

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari kemudian membuat laporan polis terhadap Fahmi atas dakwaan beliau menghina Tunku Azizah.

April lalu, 20 anggota polis memecah masuk rumah Fahmi dan menahannya untuk disiasat di bawah Akta Hasutan. Beliau direman sehari dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Fahmi pernah didakwa bawah undang-undang multimedia pada 2016, susulan karikatur badut dikaitkan dengan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak.

Pada tahun sama, beliau turut ditahan dan didakwa bersama tiga aktivis lain kerana menjual baju #KitaSemuaPenghasut di sebuah komplek beli-belah.

Beliau kemudiannya dibebaskan daripada semua pertuduhan itu.

Tiada ulasan: